Oleh : Dewani Abbas
25 October 2007
PADA suatu hari, sedang Cik Sharon Ismail mengikut ibunya ke pasar, ibunya tiba-tiba bersuara: 'Kamu sebenarnya anak separuh Cina.' Ketika itu beliau baru berusia 13 tahun.
Terperanjat Cik Sharon mendengar pengakuan ibunya. Beliau kemudian mendapat tahu bahawa ibunya sebenarnya ialah seorang anak Cina yang diambil sebagai anak angkat oleh sebuah keluarga Melayu.
Kini, hampir 20 tahun sudah berlalu. Cik Sharon, personaliti tidak asing lagi dalam dunia pengacaraan dan drama televisyen, sudah pun berusia 33 tahun dan bakal melahirkan seorang bayi sulung pada bulan depan.
Namun, dek teruja dengan pengalaman itu dan kisah ibunya, beliau menghasilkan sebuah buku cerita kanak-kanak yang mengisahkan perihal bagaimana ibunya, Cik Sallamah Aboo Bakar, 56 tahun, diambil sebagai anak angkat oleh datuk dan neneknya daripada sebuah keluarga Cina pada 1951.
Buku dalam bahasa Inggeris berjudul What Sallamah Didn't Know itu bersama dua lagi buku yang ditulis oleh penulis Melayu, merupakan di antara sembilan buku dari Singapura yang dipilih untuk dipamerkan di Pameran Buku Sedunia Frankfurt di Jerman dari 10 hingga 14 Oktober di bawah satu program diberi nama Inisiatif Penerbitan Penulis dan Pengilustrasi Baru (FTWIPI).
Inisiatif ini mendapat sokongan daripada Penguasa Pembangunan Media (MDA) dan Majlis Pembangunan Buku Nasional Singapura (NBDCS).
'Saya menulis buku ini agar generasi saya yang seterusnya akan tahu asal-usul mereka. Saya juga ingin takrifkan apakah sebenarnya makna 'keluarga'. Adakah keluarga semestinya orang yang melahirkan kita atau adakah mereka orang yang menyayangi dan melindungi kita?' ujar Cik Sharon, pensyarah di Sekolah Pengajian Antara Jurusan Politeknik Ngee Ann (NP).
Bagaimanapun, menurut Cik Sharon, ibunya tidak mahu gambarnya diambil untuk wawancara ini kerana 'malu'.
Jika Cik Sharon menulis mengenai ibunya, Cik Zarina Yusof, 34 tahun, juga pensyarah di sekolah yang sama di NP, menulis buku kanak-kanak mengenai dua anaknya pula.
Buku bergambar berjudul Fafa & Dani itu ditujukan untuk pembaca cilik berumur tiga hingga enam tahun.
'Saya terdorong menulisnya setelah mendapati banyak buku yang ingin dibaca oleh anak-anak saya kurang menyeronokkan. Jadi, saya fikir mengapa tidak saya tulis sendiri sebuah buku cerita kanak-kanak. Saya pilih tema tentang persaudaraan dan kerja-sama,' terang Cik Zarina yang mempunyai dua anak lelaki, Yuri Danial Mohd Zaki, lima tahun; dan Danish Farran, dua tahun.
Nama buku itu diambil daripada kedua-dua nama anaknya itu.
Ia mengisahkan tentang dua beradik yang menemui bekas tapak yang luar biasa di dalam rumah mereka, dan daripada situ bermulalah pengalaman menarik penuh misteri bagi mereka.
Bagi adik-beradik, Encik Rhaimie dan Encik Rizal Wahap, pula mereka turut berbesar hati apabila buku komik mereka yang dikategorikan sebagai novel grafik, The Case of the Missing Golden Bird Mask, dipamerkan di pameran tersebut.
Encik Rhaimie, 40 tahun, seorang editor di sebuah syarikat penerbitan, adalah penulis buku komik itu manakala Encik Rizal, 34 tahun, pegawai teknikal, ada- lah ilustratornya.
'Ia memuatkan cerita misteri mengenai seorang pelajar putera raja yang mempunyai kuasa luar biasa. Banyak buku komik di sini meniru gaya Hongkong, tetapi dalam buku ini kami cuba paparkan ciri yang berunsur kesingapuraan sepenuhnya,' kata Encik Rhaimie, bapa tiga orang anak.
Kesemua penulis itu masing-masing mendapat geran $8,000 daripada MDA untuk menghasilkan buku-buku mereka.

0 comments:
Post a Comment